5 Kelebihan Zakat & Kepentingannya Kepada Umat Islam

By Tunai Zakat

Ramai menyangka zakat hanyalah kewajipan tahunan. Sebenarnya, zakat adalah kunci rezeki, ketenangan, dan rahmat Allah SWT.

Zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang cukup syarat. Firman Allah SWT:

“Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka…”
(Surah At-Taubah: 103)

Berikut antara sebab kenapa zakat itu penting untuk kita semua:


1. Zakat tanda kita berharta & berniat untuk berjaya

Untuk layak menunaikan zakat, seseorang perlu memiliki harta yang cukup nisab. Ini menunjukkan Islam menggalakkan umatnya untuk berusaha dan berjaya.

Lihatlah sahabat Nabi SAW – Abu Bakar RA, Umar RA, Uthman RA, Abdur Rahman bin Auf RA, Talhah bin Ubaidillah – semuanya berharta dan sangat pemurah. Di kalangan sahabat ini, ada yang membebaskan hamba, menginfaqkan harta untuk tujuan penyebaran dakwah Islam dan menegakkan syiar agama, malah salah satu infak yang cukup terkenal adalah pembelian telaga oleh Saidina Uthman yang membantu menyelesaikan isu ketiadaan air umat Islam ketika itu.

Semua para sahabat ini berusaha mencari harta dan mengembalikan harta tersebut untuk kebaikan dan  manfaat Islam.

➡️ Kekayaan mereka bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk agama dan umat. Bukankah Allah menggalakan kita memiliki harta dan kembalikannya kepada Islam?


2. Zakat membuka pertolongan Allah

Firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Iaitu) mereka yang jika Kami beri kedudukan di bumi, mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat…” (Surah al-Hajj: 40-41)

Bagi sesiapa yang menolong agama Allah dengan mendirikan solat dan menunaikan zakat, Allah sendiri akan menolong mereka. InsyaAllah melalui pembayaran zakat, pertolongan Allah sentiasa dekat. 


3. Zakat mendatangkan rahmat Allah

Para pelajar di Maahad Tahfiz Al-Fateh sedang mengulang hafazan..

Zakat bukan sahaja membersihkan harta, malah mendatangkan kasih sayang Allah serta ketenangan jiwa bagi mereka yang menunaikannya.Allah SWT berfirman:

“Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku menentukannya bagi orang-orang yang bertakwa, yang menunaikan zakat.”
(Surah al-A‘raf: 156)

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, beramal soleh, mendirikan solat, dan menunaikan zakat – mereka mendapat ganjaran di sisi Allah; tiada rasa takut dan tidak pula bersedih.” (Surah al-Baqarah: 277)

Rahmat dan keberkatan bukan sahaja datang dalam bentuk wang ringgit tetapi turut meliputi setiap aspek kehidupan seperti kesihatan, keluarga yang sejahtera dan rezeki yang cukup dan dipermudahkan segala urusan.


4. Zakat mengembangkan ekonomi umat

Ekosistem Zakat Membangun Ekonomi Umat

Dalam Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke VII pada 2012, Zakat turut dibincangkan untuk menjadi salah satu instrumen pembangunan ekonomi umat semulajadi yang amat penting.

Wang zakat yang diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah seperti fakir miskin akan dibelanjakan untuk keperluan asas. Apabila kuasa membeli mereka meningkat, ia menambah permintaan dalam pasaran, lalu menggerakkan sektor perniagaan dan pengeluaran.

➡️ Secara tidak langsung, zakat membantu menjana ekonomi, mengurangkan jurang kaya miskin, dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat Islam.


5. Zakat meluaskan rezeki dan menghapus sifat kedekut

Setiap pagi, dua malaikat turun berdoa:

Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap hari, dua malaikat turun dari langit. Seorang berdoa: Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang berinfaq. Dan seorang lagi berdoa: Ya Allah, musnahkanlah harta orang yang enggan berinfaq.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari & Muslim – Muttafaq ‘alaih)

Bagi mereka yang membayar zakat terdapat jaminan bahawa hartanya tidak berkurang, malah Allah ganti dengan rezeki lebih luas. Zakat juga mendidik hati agar tidak kedekut, bahkan melatih kita berkongsi nikmat dengan orang lain.


Zakat bukan beban, tetapi keberkatan 🌱

Memperkasakan zakat bermakna memperkasakan manusia.
Bagi penerima – ia ubat kesusahan.
Bagi pemberi – ia punca keberkatan dan pintu rezeki.

Harta yang dizakatkan ibarat pokok yang dipangkas. Semakin dipangkas, semakin segar, semakin lebat buahnya.

Siapa tahu, penerima zakat hari ini, dengan izin Allah, akan menjadi pembayar zakat pada masa depan. Seperti zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, sampai tiada siapa layak menerima zakat kerana semua rakyat hidup senang.


Zakat adalah jalan menuju rezeki yang berkat, hidup yang tenang, dan rahmat Allah SWT.

– – – – –

Tahukah anda, di Malaysia pembayar Zakat berhak menerima rebat cukai secara 100%. Ayuh bayar zakat di tunaizakat.my

Tatal ke Atas