Perlu Ke Bayar Zakat Bila Keluarkan Duit KWSP? Ini Penjelasannya

By Zakat Malaysia

Terdapat dua pandangan mengenai pembayaran zakat bagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu pemilikan sempurna dan juga pemilikan belum sempurna.

Setiap syarikat wajib mencarum pembayaran ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja mengikut beberapa peratus daripada gaji mereka.

Wang KWSP itu kebiasaannya digunakan semasa seseorang sudah pencen di usia tua dan mahu menggunakannya untuk menjalani kehidupan.

Sekiranya seseorang itu belum pernah mengeluarkan duit dari akaun KWSP, tidak mustahil mereka akan memiliki jumlah wang melebihi enam angka.

Hukum Keluarkan Zakat Untuk Duit KWSP

Menerusi ciapan dimuat naik di laman X (Twitter @acaiijawa), lelaki ini yang bekerja sebagai amil zakat menceritakan semula beberapa persoalan diterimanya ketika menguruskan hal berkaitan zakat dengan individu yang sudah bersara.

Pertanyaan tersebut berdasarkan beberapa situasi seperti berikut:

#1. Seseorang baru sahaja pencen dan mahu mengeluarkan wang KWSP berjumlah RM100,000. Adakah perlu bayar zakat?

Apabila mencapai usia 55 tahun atau tempoh pencen sekitar 58 hingga 60 tahun, pemilik akaun boleh mengeluarkan keseluruhan wang KWSP mereka. Ia secara tidak langsung akan menjadikan wang KWSP telah milikan sempurna serta tertakluk kepada zakat.

Oleh itu, wajib untuk seseorang mengeluarkan zakat atas nama Zakat Pendapatan kerana ia sudah dikira sebagai simpanan.

#2. Individu pernah membuat potongan zakat dalam gaji bulanan. Adakah perlu bayar zakat lagi untuk pengeluaran KWSP?

Seseorang itu tetap wajib untuk membayar zakat atas pengeluaran wang KWSP kerana duit tersebut telah diasingkan lebih awal semasa kiraan zakat pendapatan. Senang kata, duit dalam KWSP itu belum pernah dizakatkan lagi.

#3. Individu bekerja kerajaan tetapi tiada KWSP dan menerima bayaran gratuiti ketika tamat perkhidmatan. Adakah perlu bayar zakat?

Apa-apa duit gratuiti, saguhati, hadiah atau pampasan yang boleh menambahkan kekayaan seseorang pada tahun tersebut dan melebihi daripada nisab, ia wajib untuk dikeluarkan zakat pendapatan sebanyak 2.5%.

Fatwa Zakat KWSP

Memetik sumber dari Zakat Selangor, seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [En. 1/2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor, atas perintah Sultan telah menyediakan fatwa yang dinyatakan dalam jadual dan disiarkan menurut subseksyen 48(6) Enakmen itu.

Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu cukup haul setahun.

NOTA: Cukup haul bermaksud simpanan atau harta yang dimiliki cukup tempoh setahun dalam perkiraan tahun Hijrah (354 hari) atau mengikut tahun masihi (365 hari).

NOTA: Nisab ialah kadar harta yang telah ditentukan oleh syarak di mana sesuatu harta itu tidak dikenakan zakat sekiranya tidak sampai kadar yang telah ditentukan.

Untuk pengiraan zakat KWSP, klik link berikut untuk info lanjut: https://tunaizakat.my/zakat-kwsp/ 

Sumber rujukan: 

Dipetik daripada:

https://www.therakyatpost.com/trpbm/gaya-hidup/2023/12/20/perlu-ke-bayar-zakat-bila-keluarkan-duit-kwsp-ini-penjelasannya

Tatal ke Atas