Tentunya masih ramai kurang arif mengenai kategori atau golongan asnaf. Pentingnya untuk kita ketahui siapa golongan asnaf ini kerana Allah SWT ada menyebut tentang mereka dan hak-hak yang mereka perlu terima. Jadi, siapa sebenarnya yang boleh dikategorikan sebagai golongan asnaf? Adakah jika seseorang individu menyatakan mereka susah, maka beliau berhak dimasukkan dalam golongan asnaf dan menerima bantuan zakat? Mari kita lihat bersama di petikan bawah tentang siapa dan apa hak yang sepatutnya diterima.
Allah berfirman dalam surah surah At-Taubah ayat 60, yang memberi maksud “Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”
Jadi, bagaimana pula definisi atau takrif yang boleh menentukan seseorang berada dalam kategori yang dinyatakan di atas? Jadi terdapat 8 Asnaf yang layak menerima zakat iaitu Asnaf Fakir, Asnaf Miskin, Asnaf Amil, Asnaf Muallaf, Asnaf Riqab, Asnaf Fisabilillah, Asnaf Gharimin dan Asnaf Ibnu Sabil.
- Asnaf Fakir: Orang Islam yang tidak memiliki harta atau pendapatan, atau memiliki harta atau pendapatan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada had kifayah dirinya dan tanggungannya.
- Asnaf Miskin: Orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan tetapi masih belum mencukupi had kifayah, kerana hanya mampu menampung lebih 50 peratus keperluan dirinya dan tanggungannya.
- Amil : Pihak yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai Amil adalah bertugas mewakili DYMM Sultan dalam melaksanakan tugas-tugas pengurusan zakat, termasuklah pungutan dan agihan.
- Muallaf : Seseorang yang baru memeluk Islam, atau seseorang yang dijinakkan hatinya dalam kalangan mereka yang belum memeluk agama Islam, atau yang perlu ditarik simpatinya kepada Islam, atau diharap dapat membela orang Islam, atau yang perlu diamankan kejahatannya terhadap orang Islam.
- Asnaf Riqab : Seseorang yang terbelenggu di bawah suatu kuasa atau keadaan yang menjadi hambatan kepada dirinya bagi menjalani kehidupan yang lebih baik .
- Asnaf Fisabilillah : Perjuangan, usaha, dan aktiviti yang bertujuan untuk menegakkan dan mempertahankan agama Allah.
- Asnaf Gharimin : Orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas diri dan tanggungannya, atau kepentingan masyarakat, dan tidak memiliki keupayaan untuk membayarnya.
Kriteria bagi orang yang berhutang adalah seperti berikut:
1. Orang yang berhutang itu tidak mampu membayar hutangnya.
2. Hutang tersebut berkaitan dengan perkara taat yang diwajibkan oleh syarak.
3. Hutang telah mencapai tempoh yang ditetapkan untuk dibayar.
- Asnaf Ibnu Sabil: Ibnu Sabil ialah orang Islam yang dalam perjalanan, kehabisan belanja semasa memulakan atau dalam keadaan yang mendatangkan manfaat dan sesuai dengan hukum Syarak, dengan syarat-syarat berikut:
1. Ditinggalkan dalam perjalanan.
2. Putus bekalan semasa dalam perjalanannya.
3. Tidak dapat memanfaatkan hartanya untuk meneruskan perjalanan.
4. Memerlukan kemudahan asas dalam masalah perjalanan.
Berdasarkan takrifan di atas dan telah Allah firman di dalam Al-Quran, golongan-golongan ini berhak menerima zakat, dan Agensi zakat perlu menentukan seseorang itu golongan asnaf terutamanya asnaf Fakir dan Miskin adalah dengan melihat pengukuran daripada pengiraan HAD KIFAYAH (had kecukupan).
Apa pula had kifayah, ( had kecukupan) ? Pengukuran untuk menentukan seseorang itu termasuk dalam golongan asnaf (Fakir dan Miskin) adalah melalui pengiraan dan pengukuran HAD KIFAYAH. Adalah perlu diingatkan bahawa pengiraan setiap negeri adalah berbeza. Banyak aspek lain yang diperhatikan untuk memastikan setiap permohonan dipertimbangkan dengan teliti, memastikan keputusan yang diambil adalah berasaskan dan betul serta mengambil kira pengiraan had kifayah.
Sumber Rujukan:
Lembaga Zakat Selangor